Saturday, January 23, 2010

Jangka

Tema pada hari ini ialah, "Jangkakan sesuatu yang tidak terjangka!" atau dalam bahasa Inggerisnya, "Expect the unexpected!".

Hari ini (Ke semalam? Dah pukul 2 pagi ni...) saya telah ditugaskan oleh ketua projek untuk berniaga di sebuah surau di Mutiara Rini. Katanya, ada ceramah pada malam ini. Jadi, saya bayangkan keadaan ceramah di surau. Saya tidak meletakkan target yang tinggi untuk jualan pada malam ini. Lebih-lebih lagi, peristiwa kemangkatan Sultan Johor telah menyebabkan banyak majlis dibatalkan.

Namun, kami dimaklumkan bahawa majlis tetap diteruskan.

Saya bersama sahabat-sahabat saya dalam R2J4 meneruskan perancangan kami. Apa-apa pun, peluang harus dimanfaatkan sepenuhnya. Biarlah terjual sedikit, asalkan ada pendapatan untuk hari ini. Lebih baik daripada kosong.

Abang saya, angah yang menghantar saya ke Mutiara Rini, bersama dengan sekotak dadih dan sebuah thermos besar. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat padang di sebelah surau yang meriah bagaikan ada karnival di situ. Rupa-rupanya ada banyak gerai dibuka, dan majlis tersebut bukanlah sebarang ceramah. Forum Perdana rupanya.

Kejutan masih belum berakhir lagi. Pada mulanya kami tidak mempunyai tapak yang sesuai untuk berniaga. Puas berpindah-randah, mengangkut meja. Lalu dengan bantuan dan kuasa Allah, ada sebuah gerai yang sepatutnya dihuni oleh orang lain, ditakdirkan kosong pula. Alhamdulillah gerai tersebut terletak di kawasan yang strategik. Kuasa Allah... Masya Allah. Alhamdulillah...

Ketika kami sedang sibuk menyediakan gerai, terdengar suara dari sistem suara. Seperti kukenal suara itu. Nazrey Raihan rupanya! Ingatkan majlis kecil-kecilan, rupanya siap ada Nazrey lagi! Terharu...

Pada akhir majlis, kami ingin menghabiskan stok roti. Saya, Hani dan Hanan pun mengangkut roti ke kawasan khemah. Pada mulanya, orang tak layan. Hampir berputus asa saya. Tiba-tiba Ust Rifqi muncul. Ahah! Apa lagi, serbulah! Ustaz Rifqi borong banyak juga. Sambil bergurau, Ustaz tanya, "Kalau nak beli sekotak berapa ringgit?" Hehe. Melihat Ustaz Rifqi sedang membeli, ada seorang pakcik menghampiri dan menghulurkan not RM50. "Nah, ambil duit ni, beri sahaja semua roti kepada orang lain..." Dengan pelbagai perasaan, terkejut, gembira, terharu, bersyukur, kami menerima duit tersebut. Alhamdulillah... Stok Roti Mama dan Roti Hotdog habis pada malam itu juga.

Roti dilelong kepada petugas yang mengemas kawasan khemah. Cepat je laku. Hehe. Siapa tak suka benda percuma!

Hari ini telah membuat saya berfikir... Andainya kami memilih untuk tidak menjual pada hari ini, kami akan terlepas peluang yang amat besar. Andainya Allah tidak mengilhamkan kami untuk mengangkut roti ke sana ke mari, sudah tentu kami tidak akan bertemu dengan pakcik yang pemurah itu. Namun perancangan Allah itu sangat cantik. Pada hari ini saya dapat rasakan bahawa pertolongan Allah itu sangat dekat. Bertawakkallah kepada Allah. Berdoa dan terus berdoa. Berserah dan terus berserah.

Inilah dunia perniagaan. Sekecil mana pun kita lihat sesebuah peluang, jangan terus dilepaskan. Kerana di sebalik peluang yang kelihatan kecil itu, mungkin tersedia laluan kepada peluang yang lebih besar. Bertawakkallah kepada Allah, kerana Allah yang mentakdirkan segala sesuatu. Dunia perniagaan ini sesuatu yang tidak boleh dijangka. Persiapkan minda untuk menjangka apa yang tak terjangka!

P/s: Jika ada perkataan yang boleh saya hilangkan pada hari ini, perkataan itu ialah "KERTAS KERJA". Ouh, tolong jangan sebut. Haha.

No comments:

Post a Comment